16 Feb 2014

#KDUContest - Kau Ditakdirkan Untukku Cover Song

..السلام عليكم و رحمة الله و بركات

Salam sejahtera, semua.

Entri kali ini ditulis untuk memaklumkan bahawasanya saya sedang menyertai sebuah pertandingan nyanyian. Akademi Fantasiam? Mentol? Malaysian Inol? Bukan, bukan pertandingan itu yang saya sedang sertai.

Pihak Inteam Records dengan bangganya menganjurkan peraduan "Cover Song - Kau Ditakdirkan Untukku". Pertandingan ini diadakan bermula 6 sehingga 28 Februari 2014. Para peserta hanya perlu merakam video, muat naik ke YouTube dan seterusnya kongsikan di laman sosial, dan peserta perlu mendapatkan seramai mungkin viewers dan likes dari pengunjung video mereka.



Ini dia, di bawah ini adalah video yang telah saya hasilkan. Walaupun tidak seberapa, namun inilah yang termampu daripada saya, seikhlas dan setulusnya.



KDU Contest ini adalah pertandingan dalam talian (online) pertama yang saya sertai. Selama ini, hanya biasa menyanyi di pentas. Setelah 2 tahun menyepi, kini saya kembali untuk menyerlahkan sisi lain saya selain belajar. Sekadar mencuba nasib, menang kalah itu rezeki masing-masing. Yang penting, niat saya untuk membuat tribute kepada arwah Aden telah tercapai.

Dek kerana kesibukan harian sebagai seorang pelajar, ingin saja saya menarik diri. Namun setelah dipujuk oleh ramai orang, saya menarik balik keputusan saya untuk tarik diri, dan meneruskan perjalanan hingga ke akhir pertandingan dengan pengurusan masa yang seimbang antara belajar dan bertanding. Tarikh peperiksaan yang semakin dekat membuatkan saya dalam tekanan, namun bimbang pula andai mengecewakan mereka yang telah memberikan sokongan sebelum ini.

Hanya Allah yang tahu niat saya, untuk buat tribute kepada arwah Aden EdCoustic. Sebenarnya ada kisah antara saya dengan kumpulan EdCoustic. Ingin tahu? Tunggu entri yang berikutnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan