25 Dis 2013

Cuti-Cuti Diwali : Dharwad

..السلام عليكم و رحمة الله و بركات

Salam sejahtera, semua. Agak lama tak dikemas kini blog ini nampaknya. Maaf kerana agak sibuk dengan komitmen belajar. Namun, ada benda yang perlu dikongsi.

"Berjalan bermusafirlah melihat kebesaran Tuhan
Yang diciptakan untuk mereka yang berfikir dan bersyukur di atas nikmat dan kurniaNya
Nilai harganya iman dan taqwa
Bagi hamba yang setia.."

[Hikmah Kembara - Mirwana]

Baru-baru ini, alhamdulillah, diberi kesempatan untuk bercuti selama 10 hari sempena Diwali / Deepavali. Takkan nak duduk Belgaum saja? Maka, saya mengambil kesempatan untuk bermusafir di sekitar negeri Karnataka ini sambil menziarahi sahabat-sahabat di sepanjang perjalanan.

Pusing India naik beca roda tiga? Ada berani?


Antara destinasi yang telah dilawat ketika cuti tempoh hari adalah:

1. Dharwad
2. Bangalore
3. Mysore
4. Mangalore
5. Manipal

Lokasi yang berjaya dilawati. G = Belgaum, D = Bangalore, C = Mysore, E = Mangalore, F = Manipal. Semuanya dalam negeri Karnataka.

Mula-mula, ke Dharwad dulu, bersama rakan-rakan ke rumah Najmi Latif, sahabatku yang tercinta. Perjalanan ke Dharwad sejauh 75km mengambil masa lebih kurang 1 jam 45 minit dari Belgaum, dengan menggunakan bas. Tambang yang dikenakan juga amat berpatutan, iaitu Rs.75 (lebih kurang RM4.00). Untuk ke rumah Najmi, kami perlu menaiki bas lagi, dengan bayaran Rs.12 (RM0.60). Murah kan?

Dalam perjalanan ke Dharwad. Plaza tol di lebuh raya.

Sebenarnya, ini bukan kali pertama saya ke Dharwad. Ini adalah kunjungan kali ke-4 ke sana. Suasana Dharwad lebih kurang dengan Belgaum, cumanya Belgaum lebih membangun dan lebih sesak.

Makan tengah hari disediakan oleh tuan rumah, dan juga beberapa rakan-rakan pelajar Malaysia di Dharwad yang lain. Alhamdulillah, semoga Allah memberkati mereka. Sedap betul makanan, bertambah sedap dengan ikatan ukhuwah.

Macam sedap je, macam menarik je..

Sebahagian ikhwah, sakan bergambar dengan juadah..

Tuan penulis blog pun nak masuk dalam gambar juga.

Kemudian, selesai makan tengah hari, solat Jumaat pula, tidak jauh dari rumah Najmi. Kami solat di sebuah surau yang amat kecil, bersesuaian dengan populasi umat Islam di kawasan itu yang sedikit.

Selesai Solat Jumaat, kami ke bandar Hubli pula, kira-kira 15km dari rumah Najmi. Ke mana destinasi kami yang spesifik? Ke Urban Oasis Mall (UOM), sebuah pusat beli-belah yang paling dekat dengan Belgaum. Kepada mereka yang belum tahu, tiada kompleks beli-belah di Belgaum.

Wajah-wajah ceria ikhwah sekalian

Hubli merupakan sebuah bandar yang terletak 100km dari Belgaum. Nostalgia sebenarnya bandar Hubli ini, kerana Hubli merupakan tempat ketibaan kami di utara Karnataka pada mula-mula kami menjejakkan kaki di India. Sebenarnya, UOM ini baru dibuka, dan belum siap sepenuhnya. Belum banyak kedai dibuka. Yang menariknya, di UOM, lebih banyak pilihan barangan, dan boleh didapati dengan harga yang lebih murah. Yang penting, ada KFC di UOM. Sebenarnya itulah faktor tarikan utama.

Urban Oasis Mall, Hubli. UOM mengambil langkah murni sempena Diwali, dengan tidak menyokong sebarang kerahan tenaga kanak-kanak sebagai buruh.

Suasana dalam UOM.

Inilah KFC yang terdekat dari Belgaum pada ketika itu.

KFC di India sedikit istimewa, kerana KFC di India menawarkan ayam panggang yang sedap.


Boleh tahan sakan juga rakan-rakan saya membeli barang-barang, namun saya pulang dengan tangan kosong kerana mahu berjimat untuk perjalanan yang masih panjang. InshaAllah, akan mengembara selama seminggu.

Pada petangnya, sebahagian daripada kami pulang ke Belgaum, tetapi saya dan seorang lagi sahabat, Helmi Hamid, masih di Dharwad sehingga malam itu kerana kami akan ke Bangalore pula, bersama Najmi. Kami bertolak ke Bangalore pada jam 10.00 malam.

Mengikut trend semasa, selfie. Nak juga mencuba.

Teman semusafirku ke Bangalore, Helmi Hamid, pelajar tahun kedua di USM-KLE.

This is Dharwad!
Contoh bas di India. Yang penting, tambang bas di India lebih murah berbanding di Malaysia meskipun harga bahan bakar di India lebih mahal.

Kisah di Bangalore akan dikemas kini pada entri yang akan datang. Nantikan!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan